Malaysian Psychiatric Association - click for home
Malaysian Psychiatric Association
    About Us | Join Us | Contact Us
Search: 
 
  Home »  In the Press »
 
» About MPA
» President's Message
» In the Press
» Misconceptions
» Mental Health
» Mental Disorders
» Children & Adolescent
» Support & Caring
» Circle of Care
» Upcoming Events
» Young Psychiatrists
» Private Psychiatrists
» List of Hospitals
» FAQ
» Interactive Corner
» Newsletters
» Glossary
» Web Resources & Contacts
» Conferences
» Women MH Chapter
» International Society for Bipolar Disorder
» Gallery
» News & Updates
» e-Newsletters
» Materials for Patients
» Announcements
» CPG & Other Guidelines
» Home

 
arrow In the Press

Remaja dan kesihatan mental

Date: 18 August 2008

Kesihatan mental adalah keadaan sejahtera, sempurna pemikiran, emosi dan tingkah laku di mana individu itu dapat berfungsi melakukan kerja sehingga mencapai matlamat. Kesihatan mental dan spiritual amat penting dalam memperkasakan remaja ke arah pengamalan tingkah laku yang sihat.

Dalam memperkatakan golongan remaja, mereka merupakan penerus kepimpinan masa hadapan negara. Hakikat inilah menjadikan golongan remaja sebagai aset yang amat bernilai bagi sesebuah negara itu. Justeru, golongan remaja mestilah bersiap sedia menangani cabaran yang akan dihadapi.

Zaman remaja yang penuh dengan pancaroba perlu diharungi dengan lebih bermakna, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menjanjikan persaingan dari semua aspek kehidupan. Golongan remaja perlu berusaha menjadikan diri sebagai warga yang bertanggungjawab dengan sihat mental dan fizikal supaya berupaya membangun potensi diri serta membantu negara meningkatkan daya saing dan produktiviti di masa hadapan.

Beban tidak tertanggung?

Alam remaja adalah alam yang begitu indah serta mempunyai pelbagai ruang untuk membangun potensi diri. Namun, apabila tidak memanfaatkan alam remaja dengan sebaik-baiknya, kita akan menanggung akibatnya apabila sudah beransur tua kelak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan bahawa 70 peratus kematian yang tidak dijangka di kalangan orang dewasa disebabkan tingkah laku berisiko yang bermula semasa remaja. Gejala yang mungkin bermula semasa zaman remaja ialah penyalahgunaan dadah, alkohol dan juga penglibatan dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Menurut WHO di seluruh dunia, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan. Jika 20 peratus golongan kanak-kanak ini jika tidak dirawat, mereka akan membesar menjadi golongan remaja dan dewasa yang bermasalah dan tidak seimbang.

Pada tahun 2004, kajian beban terhadap pelbagai penyakit yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati secara amnya penyakit mental merupakan penyakit kedua tertinggi selepas penyakit jantung. Menurut keputusan The 2nd National Health and Morbidity Survey yang dijalankan di seluruh Malaysia tujuh tahun yang lalu pula, 13 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia menghadapi masalah psikiatri.

Lebih merisaukan lagi kajian yang sama mendedahkan bahawa kadar merokok dan penyalahgunaan dadah begitu tinggi di seluruh negara, terutamanya kemunculan pil-pil yang memabuk dan mengkhayalkan penggunanya.

Apatah lagi, negara pada tahun lepas dikejutkan dengan kejadian pelajar tahun enam membunuh diri kerana kecewa dengan keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendahnya. Dalam kes lain, pelajar tahun satu telah trauma dan enggan ke sekolah kerana dibelasah oleh sekumpulan pelajar tahun lima dan enam. Bagaimana pula dengan kes pelajar cuba membunuh diri dengan terjun daripada bangunan setelah kecewa dengan keputusan SPMnya beberapa tahun lalu?

Kes-kes sebegini mengundang persoalan kepada kita betapa hebatnya tekanan yang terpaksa diterima oleh mereka. Bayangkan dalam usia muda begini, tekanan yang dihadapi telah mempengaruhi mereka untuk mengambil tindakan yang tidak wajar itu.

Golongan remaja akan menghadapi masalah kesihatan mental jika tidak berupaya mengatasi tekanan yang mereka hadapi. Remaja yang mengalami tekanan mental seringkali menunjukkan tanda-tanda seperti keliru dengan peranan dan tanggungjawab diri, sering merasa diri disalahfahamkan dan dipersalahkan, merasa diri dilayan secara tidak adil, kesunyian, sukar memahami emosi, serta susah membuat keputusan.

Kesihatan mental individu dipengaruhi tiga faktor utama iaitu ciri-ciri khusus individu, faktor persekitaran dan peristiwa dalam hidup.

Ciri-ciri khusus individu termasuklah harga diri, tabiat serta kemampuan daya tindak dan adaptasi. Tekanan mungkin boleh berlaku akibat masalah pertelingkahan dengan rakan sebaya, ibu bapa dan keluarga dan juga masalah pelajaran dan pelbagai aktiviti sosial.

Remaja kini menghadapi cabaran baru sealiran dengan era siber dan ICT. Masalah apa yang disebut sebagai cybersex dan ketagihan Internet telah menular di kalangan remaja seluruh dunia.

Selain itu, bebanan hidup yang mendesak, cara dan gaya hidup yang makin mencabar, keperluan materialistik diutamakan menyebabkan remaja terpaksa ‘membesar lebih cepat daripada masanya’. Banyak faktor lain mempengaruhi kesihatan mental seseorang. Antaranya kurang perhatian keluarga, cara dibesarkan, dianiaya dan didera serta kejadian negatif dalam keluarga seperti ibu bapa kerap bergaduh, suka marah dan menjerit atau menggunakan kekerasan.

Justeru, kesihatan sejak bayi hinggalah remaja menjadi asas bermulanya penjagaan kesihatan seseorang itu sama ada dari segi fizikal ataupun mental. Kesihatan fizikal dan mental yang baik boleh diperoleh dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat termasuklah penjagaan pemakanan yang seimbang, bersenam, mengawal tekanan atau stres dan yang paling penting dapat menghindar diri daripada aktiviti-aktiviti yang negatif dan berisiko.

Nikmati hidup dengan sebaik-baiknya

Islam merupakan satu agama yang cukup memberi perhatian terhadap kesihatan. Betapa pentingnya menjaga kesihatan terserlah apabila Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadis, “Permintaan yang paling disukai Allah daripada hamba-Nya ialah meminta dianugerahkan kesihatan yang sempurna”.

Menurut pandangan Islam kesihatan akan dapat dipelihara dengan baik jika manusia mengamalkan tabiat hidup yang telah diatur dengan baik. Kesihatan akan terpelihara jika manusia menjaga makan minum mereka serta tingkah laku yang baik.

Menjaga kesihatan dalam Islam bukanlah sekadar luaran sahaja tetapi makanan rohani juga harus dititikberatkan. Jiwa yang tidak disantap dengan pengisian dan ilmu yang berfaedah akan terasa kosong dan akhirnya akan mencari sesuatu yang tidak baik sebagai mengisi kekosongan di dalamnya.

Tekanan dan masalah yang dihadapi remaja perlu dianggap sebagai cabaran dan persediaan menghadapi alam dewasa yang lebih mencabar. Perbanyakkan membaca al-Quran, solat sunat serta selalu berdoa kepada Allah. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Selain itu, apabila ditimpa masalah, selalulah bersangka baik dengan Allah kerana ujian yang menimpa bertujuan untuk menguji keimanan dan pergantungan kita kepada Allah serta percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian. Remaja juga seharusnya belajar untuk menghargai kebolehan diri sendiri dan tidak memandang rendah kepada bakat dan potensi diri, sebaliknya berusaha meningkatkan keupayaan diri.

Nikmat kehidupan yang diberikan oleh Allah perlu dinikmati sebaik-baiknya dan segala permasalahan perlu dikongsi bersama-sama ibu bapa atau pihak-pihak yang boleh dipercayai. Ini supaya masalah tersebut tidak menjadi tekanan kepada remaja itu sendiri yang seterusnya boleh mendorong kepada kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, pemimpin dan ibu bapa harus memandang serius perkara ini serta perlu berusaha menangani dan membendungnya daripada terus membinasakan kehidupan dan masa hadapan golongan remaja.

Program-program pembangunan belia dan pendekatan realistik serta holistik perlu diperkenalkan supaya golongan remaja mendapat faedah yang sebaik-baiknya. Sistem pendidikan juga harus dimantapkan supaya dapat membangun jiwa remaja yang yakin, ceria dan bersemangat waja.

Kesimpulan

Masalah kesihatan mental bukanlah bermakna gila atau kurang siuman. Kesihatan mental adalah cara manusia berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain. Ia juga boleh mempengaruhi persepsi seseorang pada diri sendiri dan bagaimana seseorang melihat masalah serta bertindak menyelesaikannya.

Hasil beberapa kajian tertentu menunjukkan individu yang mempunyai harga diri yang tinggi, mampu berkomunikasi dengan bijak dan efektif, mempunyai sokongan sosial yang kuat pada keseluruhannya mempunyai kemampuan mempromosikan kesihatan mentalnya dengan baik.

Impak kesihatan mental yang kurang memuaskan pada seseorang individu boleh mengakibatkan masalah-masalah kepada individu itu sendiri, keluarganya dan masyarakat amnya. Justeru, remaja perlu menyedari bahawa kesihatan mental juga adalah aset yang sangat berharga untuk mereka dan berusaha untuk menjaganya sebaik-baik mungkin.

This article was first published in www.utusan.com.my .MPA disclaim any responsibility of the validity and credibility of the content on this page and although the content is uploaded to the website in good faith, it is not endorsed by MPA and it may not represent the opinion of MPA. For further information please read MPA's full disclaimer here disclaimer


  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

 
 
| | | |
©Copyright Malaysian Psychiatric Association   2006 - 2011    All rights reserved.
designed & maintained: mobition